" Hai orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan)untuk mendekatkan diri kepadaNYA Dan berjuanglah di jalan Allah, agar kamu beruntung. "(Al-Maidah : 35)

23 October 2011

HATI EMAS

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya'tidak berakal'. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu adalah pelita hati. Justeru di dalam Al-Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayat-Nya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang diceritakan di dalam Al-Quran.

Malangnya, sedikit sekali 'orang yang berakal'walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga ramai manusia tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya.

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai 'orang agama' tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya.

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya, hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya?

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak 'berminyak air'. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang sama.

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan.

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi ilmu yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat ijazah, sarjana mahupun Ph.D apatah lagi profesor.

Ramai hanya di tahap 'lepas fardu Ain'. Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi 'hati yang bercahaya' berbanding 'otak yang bergeliga', hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya.

Sepanjang kembara dalam usia mencecah 50 tahun, saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja.

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah 'orang-orang kecil' yang begitu besar dalam arena pendidikan.Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan 'murid-murid' tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat.

Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinisikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara 'simple' menyampaikan ilmu itu secara amaliah.

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka.

Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya 'harta' yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia.

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa 'glamour' dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .

Tegasnya, mereka ini tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk 'universiti kehidupan' – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini.

Sahabat-sahabat ku, kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan.

Ya, tiada kata secantik bahasa, untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan!

Untuk mu sahabat-sahabatku, aku tinggalkan sedikit catatan, di nota hati yang 'bergenta' beberapa minggu yang lalu. Ini adalah kesah protes hatiku terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu) untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah 'orang agama'menjadi fitnah terhadap agama.

Namun, aku tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu kupintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. Ya, akhirnya ku coretkan catatan ini. Cuma kisah sekeping hati.

iluvislam

Related Posts by Categories



No comments:

Post a Comment