Apakah cukup hanya dengan keluhan? Padahal hidup memerlukan kayuhan. Kayuhan amal yang tidak putus-putus dan tanpa jemu-jemu. Kita boleh senyum ketawa dan mesra ketika bersama manusia, namun jauh di sudut hati, biar tetap sedih dan merintih kerana mengenangkan dosa lampau, dosa kini dan dosa akan datang. Sesekali kita boleh tertawa dengan kebodohan diri, tetapi lama kelamaan jika kebodohan itu berulang, hati akan terdera oleh satu pertanyaan: Bilakah lagi aku akan matang?
Malam yang dulu tidurku terganggu. Kira bicara hati tidak menentu. Walaupun yang kukira adalah wang-wang pada nisab dan haul menjelang hujung tahun… tetapi hakikatnya yang kutimbang adalah soal hati. Hati yang masih tamak. Hati yang hanya ingin menerima tetapi begitu sukar memberi. Yang kucongak adalah zakat. Namun hakikatnya, neraca muhasabah ini ialah antara mahmudah dan mazmumah. Aku boleh menipu angka dan timbangan, tetapi mampukah aku menipu diri sendiri? Lebih-lebih lagi mampukah aku menipu Ilahi?
Yang paling penting dalam hidup ini ialah punya hati yang qanaah – hati yang berpada-pada dengan apa yang ada. Sedikit, mencukupi. Banyak, boleh diagih-agihkan. Pernah aku berjanji dengan diri sendiri, agar menjaga keinginan agar tidak melewati batas-batas keperluan. Jangan sekali-kali terjerumus ke jurang pembaziran. Keinginan yang melampaui batas, jika tidak dapat dikawal akan mengundang resah jiwa. Gejolaknya akan terus mengganggu. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Aku pernah tersiksa kerana itu!
Kemudian aku tersedar… bahawa kekayaan sebenar bukanlah kerana ‘memiliki’. Kekayaan sebenar bila tidak ‘dimiliki’. Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya. Benar, milik Allah segala yang ada. Tetapi bukan kerana itu DIA digelar Al Ghani – Yang Maha Kaya. Allah itu Maha Kaya kerana DIA tidak memerlukan segala sesuatu, sebaliknya segala sesuatu yang memerlukan-Nya. Begitulah manusia. Jika inginkan kekayaan sejati, kurangkanlah keperluan terhadap dunia dan manusia … bukan dengan meningkatkan keperluan kepada keduanya.
Pernah aku temui orang kaya yang memilki harta berjuta. Segala-galanya bagai berada di hujung jarinya. Kereta, rumah, hartanah dan wang simpanannya berjuta-juta. Tetapi alangkah sedih, dia begitu miskin di sudut jiwanya. Keinginannya pada dunia sentiasa meluap-luap. Ingin itu, ingin ini. Selepas satu, satu pula keinginannya. Jiwanya sentiasa resah. Dia umpama meneguk air laut, makin banyak diminum semakin haus. Pantang ada kereta model terbaru… dia resah. Pantang ada hartanah yang nak dijual… dia gelisah. Oh, alangkah siksanya sikaya yang hidup dalam kemiskinan itu.
Lihatlah perancangan kewangan musim yang lalu. Betapa kekadang berlaku sesuatu di luar di luar dugaan. Disangka cukup, tiba-tiba mengurang. Dijangka sempit, tiba-tiba lapang. Tidak salah merancang di batas tadbir… tetapi segalanya terlaksana di alas takdir. Sebab itu pasakkan ke dalam hati selalu, Allah itulah Ar Razzak – Maha Pemberi Rezki – yang mampu memberi melalui jalan-jalan yang misteri. Jalan yang tidak mampu dijangkau oleh akal yang terbatas, justeru upaya-Nya yang Maha Luas.
Wahai diri yang bakhil, keluarkanlah hak orang lain yang kau anggap hakmu. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Ya, kau yang memerah keringat. Ya, kau yang penat berfikir. Tetapi dengan tenaga siapa kau berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancainderamu itu milik siapa? Kau bukan pemiliknya. Kau hanya peminjam… Begitu juga dengan akal, hati dan perasaan yang kau gunakan untuk berfikir, merasa dan bertindak… milik siapa segalanya? Bukankah segalanya milik Allah?
Oh, rupanya aku sering terlupa bahawa usahaku semuanya, segalanya, adalah dengan ‘modal pinjaman’. Aku perlu membayarnya. Kepada siapa? Kepada Allah? Ah, Dia Maha Kaya. Dia tidak memerlukan apa-apapun daripada hamba-hamba-Nya. Namun, Allah memerintahkan agar ‘modal pinjaman’ itu dipulangkan kepada hamba-hamba-Nya yang memerlukan. Itulah golongan 8 – asnaf zakat yang memerlukan. Merekalah pemilik yang berhak ke atas harta Allah yang dipinjam oleh Sikaya. Lalu aku akur, ya Allah alangkah berdosanya aku. Aku masih tamak, aku masih rakus. Bagaikan akulah pewaris harta Qarun nan sejati – hati yang sentiasa merasa miskin!
Dulu, aku pernah menjerit kerana tidak cukup. Tapi kini aku menjerit kerana ingin lebih. Ah, apakah esok aku akan terus menjerit kerana tidak puas? Wahai diri, milikilah kematangan rasa. Jangan sekali-kali bertindak ‘terlalu’. Samada terlalu ‘mahu’ atau terlalu ‘benci’. Kesederhanaan itu selalu menyelamatkan. Ingat selalu pesan Al Quran, tangan jangan terlalu dibukakan… tetapi jangan pula terlalu digenggamkan. Titik tengah antara boros dan bakhil, itulah pemurah.
Jika wang boleh menyuburkan kasih-sayang, hulurkanlah. Jangan lokek ‘memeriahkan’ persaudaraan. Bukan Rasulullah SAW pernah bersabda sedekah terbaik ialah yang didahulukan kepada kerabat terdekat. Tetapi ingat, bukan wang itu yang mempertautkan persaudaraan… tetapi hati yang jujur. Kejujuran mampu ‘membeli’ kasih-sayang lebih dari jumlah wang yang aku miliki… Aku tidak ingin menjadi pewaris hati Qarun!
Antara kualiti jiwa dan kuantiti harta sering diri alpa dan terkesima. Jiwa dibiarkan buruk dan gelap, badan kereta pula yang asyik dilap dan digilap. Rumah ditukar langsir, dicat baru dan dihiasi perabot pelbagai jenama, tapi sayang… jiwa berterusan terus kusam, kelam dengan mazmumah yang terus bermaharajalela.
Duhai diri, apakah kamu lupakan mati? Di mana Qalbun Salim (hati yang sejahtera) yang menjadi penjamin mu di Hari yang tidak berguna semua saudara dan segala harta?
Ya Allah, uzlah aku dari kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberi kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadi “bahan uji”Mu untuk mendidik aku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai karma kejahatanku pada mereka.
Ya Allah, aku belum sampai… tetapi sungguh, aku telah mulakan perjalanan. Walau susah sungguh, untuk pasrah padaMu, penuh seluruh! Lihat aku, kesihanilah aku, kutip aku… wahai Al A’fu.
:.Ustaz Pahroul Mohd Joui.:
No comments:
Post a Comment