21 April 2008

Web, blog: Taktik pembangkang racun pengundi muda, kata Ali Rustam

Penggunaan laman web serta blog oleh parti pembangkang untuk menyebarkan dakyah politik mereka adalah antara punca mengapa undi dari pengundi muda banyak memihak kepada pembangkang semasa Pilihan Raya Umum yang lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, penggunaan laman web serta blog untuk menyebar fitnah mengenai kerajaan juga telah mengelirukan rakyat sehingga berlakunya apa yang para analisis politik gambarkan sebagai 'tsunami politik'.

ImageKatanya, hakikat bahawa ramai calon Barisan Nasional (BN) yang tidak menggunakan laman web atau blog telah menyebabkan BN gagal menangkis fitnah pembangkang serta memberi penerangan yang tepat kepada pengundi.

"Pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah disediakan kerajaan. Tetapi pembangkang telah mengambil kesempatan menggunakan segala kemudahan ini untuk membantu mereka dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

"Selain itu, cara berkempen pembangkang yang banyak menggunakan isu-isu perkauman juga telah memberi kesan kepada keputusan akhir," tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis meraikan kemenengan BN Tangga Batu di sebuah hotel di sini. (Bersambung ke muka 3)

Laporan ini berita utama muka depan Melaka Hari Ini (Rabu 9 April 2008 / 2 Rabiulakhir 1429) dengan tajuk 'Penggunaan laman web, blog: Taktik pembangkang racun pengundi muda'.

Di bawah pula adalah tulisan saya dalam Fikrah Editor Harakah, 9-22 Safar 1429 / 16-29 Februari 2008.

Memaksimumkan ICT hadapi dakyah Umno-BN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Antara tajuk berita akhbar harian Melayu yang diulang saban hari adalah 'Usah terpengaruh dakyah pembangkang', dan 'Jangan terpengaruh dakyah pembangkang'. Hairan bin ajaib, pembangkang hampir tiada medan menyatakan pandangan, jadi bagaimana mereka berjaya melakukan dakyah dan propaganda?

Pihak yang menabur dakyah dan propaganda itu adalah Umno-BN yang memperkudakan media massa bagi melanjutkan kuasanya yang mereput itu. Seperti pilihan raya lalu, media massa terutama bebahasa Melayu ditunggang penuh nafsu bagi mengaburi mata rakyat; melihat Umno-BN bagaikan geliga, siap sedia mencetuskan huru-hara.

Sekalipun kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sudah banyak mengubah pemikiran masyarakat, media massa tradional seperti akhbar, radio dan televisyen kukuh sebagai senjata paling ampuh bagi menghadapi pilihan raya. Siapa menguasai maklumat, hampir pasti memenanginya, termasuklah melalui pendekatan paling kotor - membenarkan yang batil yang menyalahkan yang benar.

Sebagai negara yang diuar-uarkanb bakal mencapai status maju pada 2020, rakyat menanggung malu di mata dunia jika demokrasi ala-Malaysia dibandingkan dengan negara bertamadun dunia. Di Amerika, calon-calon Presiden, daripada Demokrat dan Republikan diberikan liputan meluas oleh media massa. Pengundi mempunyai akses terhadap rancangan calon untuk kebajikan rakyat dan juga masa depan negara.

Sekalipun dakwaan siapa menguasai media, dialah pemenang pilihan raya terpakai di Amerika, seperti di negara maju lain termasuk Britain, penguasa tiada halangan kepada pihak berkaitan menerbit dan menyebar luas media alternatif. Media ini berkembang subur di negara maju, menyediakan pandangan kedua untuk rakyat yang dahagakan maklumat.

Bagaimanapun, hal ini tidak berlaku di Malaysia. Pandangan kedua hampir tidak dibenarkan. Berdasarkan arahan PM sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2000, parti-parti yang sah berdaftar dibenarkan menerbitkan buletin sekali dalam masa 15 hari dengan permit penerbitan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Berdasarkan kebenaran inilah terbit akhbar Harakah (PAS) dan Roket (DAP) manakala Suara Keadilan (KeADILan) tidak diberikan permit.

Buletin parti ini tidak boleh disamakan dengan akhbar harian. Harakah tidak boleh disamakan dengan Berita Harian atau Utusan Malaysia. Lawan Harakah yang setara adalah Merdeka (terbitan Umno) yang tidak mendapat sambutan itu.

Dari segi indeks kebebasan akhbar sedunia, Malaysia kini hampir ke kedudukan tercorot (124), lebih buruk daripada Kemboja, Bhutan dan Timor Leste. Berdasarkan senario ini, kita begitu bimbang kerana kewartawanan buruk akan menghasilkan sebuah kerajaan buruk yang natijahnya akan menyebabkan rakyat menderita.

Apabila sebuah kerajaan buruk dipilih, terjadilah pelbagai keburukan - rasuah, penyelewengan kuasa dan aneka jenayah. Sebahagian kesilapan memilih kerajaan buruk ini terletak di bahu rakyat yang dikaburi mata dan hati mereka oleh media massa. Media massa Melayu sudah menjadi petunjuk kepada sesetengah orang Melayu, dipercayai segala ratib sang penguasa yang gila akan kesinambungan kuasa.

Kini, berdasarkan hakikat Umno-BN mencengkam media, satu-satunya jalan keluarbagi pejuang kebenaran adalah memanfaatkan kemajuan ICT dengan memaksimumkan penggunaannya. Antaranya perhebatkan perjuangan melalui alam maya dan produk hilirannya seperti bahan muat turun agar sampai ke tangan setiap pengundi, hatta di pedalaman bagi menangkis serangan menggila Umno-BN.

Selepas meneliti kedua-dua artikel ini, antara pertanyaan saya adalah:

1. Mohd Ali Rustam melalui artikel ini telah memfitnah pembangkang (kini pemerintah di lima negeri) menggunakan laman web dan blog untuk menyebarkan dakyah politik dan pengundi muda telah mempercayainya. Wahai Dato' Seri yang bijaksana, anda telah tersilap dengan mengandaikan anak muda begitu mudah percaya akan perkara karut-marut termasuk fitnah. Generasi muda sekarang adalah golongan terpelajar, mereka tidak makan akan temberang (hantu pun mereka tidak percaya apatah lagi takut), mereka mahukan bukti akan sesuatu perkara itu. Jika sesuatu perkara itu benar, barulah mereka mempercayainya. Kalau laman web dan blog menulis kisah merapu termasuk cerita hantu, siang-siang lagi mereka akan menolak sekalipun membacanya. Janganlah beremosi menuduh anak muda senang termakan fitnah pembangkang.

2. Mohd Ali Rustam telah mengaku ramai calon BN-Umno buta teknologi maklumat. Demikian juga kebanyakan orang Umno. Kalau dah tahu, tak apalah Dato' Seri. Jangan tak tahu.

3. Mohd Ali Rustam berkata kerajaan sudah bersusah payah menyediakan kemudahan ICT sebaliknya pembangkang mengambil kesempatan. Ini juga bermaksud orang Umno-BN buta teknologi dan tidak menghargai kemudahan disediakan kerajaan. Buat apa buat MSC dan pelbagai koridor sedangkan orang Umno-BN tidak tahu apa-apa pun?

4. Mohd Ali Rustam mengesyorkan pemimpin BN guna blog untuk beri penerangan. Syabas Dato' Seri, bekas rakan sejawatan Dato' Seri dari Selangor dan Perlis kini sudah pun menjadi bloggers. Harap-harap Dato' Seri akan menyertai mereka tidak lama lagi (selepas pencen)

5. Mohd Ali Rustam mendakwa pembangkang banyak menggunakan isu perkauman. Saya nak tanya Dato' Seri satu isu saja iaitu Hindraf. Siapa yang memainkan isu ini siang dan malam berbulan-bulan lamanya. Bukankah pemimpin Umno dan media massa yang dikuasainya. Siang malam HINDRAF, HINDRAF sehingga rakyat naik bosan.

6. Akhbar 'Melaka Hari Ini' saya jumpa dalam masjid. Sudah menjadi pengetahuan umum akhbar ini (harga RM1) gagal di pasaran, jadi dicampakkan saja ke sekolah, jabatan kerajaan, masjid dan surau. Bagaimana akhbar ini boleh dicampakkan ke masjid sedangkan masjid kawasan larangan berpolitik? Sebagai akhbar kerajaan negeri, duit siapa yang digunakan untuk menerbit dan mencetak akhbar ini? Jika kos penerbitan akhbar ini 50 sen senaskhah, jika dicetak 50,000 naskhah, kosnya sudah RM25,000. Kalau sebulan sudah RM750,000. Kalau setahun sudah berapa? Jangan aniaya duit rakyat dalam bab ini.

7. Akhbar ini diterbitkan kerajaan negeri, bagaimana pula ia sarat dengan laporan kepartian. Bukankah Dato' Seri telah memperkudakannya untuk menyampaikan dakyah parti terutama diri sendiri? Lebih-lebih lagi pemilihan dan perhimpunan agung Umno sudah makin dekat.

8. Akhir sekali berdasarkan artikel kedua (rencana pengarang Harakah), syabas diucapkan kepada pejuang keadilan yang telah menfaatkan ICT untuk melenyapkan kebatilan. Teruskan perjuangan suci ini menghancurkan kezaliman.

1 comment:

  1. BN la yg suka menabur fitnah.sbb tu rakyat ramai yg menyampah tgk iklan kempen tempohari.dh naik geli telinga dgr propaganda membohong depa.kesannya...tertiarap kt 5 negeri.padan muka.

    ReplyDelete

UNBREAKABLE

Bestlah buku ni,mulanya risau juga nak beli buku omputih,sebab risau pengunaan perkataan di luar kotak fikiranku😂Tapi sebab pernah d...