04 January 2012

AI SHI TERU YA RABB!

Ai shi teru ialah perkataan Jepun yang bermaksud, "Aku cinta padamu...". Dalam bahasa Inggeris ia disebut, "I love you", dalam bahasa Arab, "Uhibbuka" (untuk lelaki) dan "Uhibbuki" (untuk wanita), manakala di dalam bahasa Mandarin ia disebut, "Wo ai ni". Dan Perancis pula disebut, "Je t'aime". Walaupun perkataan ini berlainan sebutannya, tetapi hakikatnya ia tetap mempunyai satu maksud iaitu aku cinta padamu. Persoalannya cinta kepada siapa?

Perkataan 'Cinta' adalah perkataan yang begitu popular di mana sahaja kita berada, kerana ia bukan perkataan yang terkandung dalam kamus moden tetapi telah lama wujud sejak dijadikannya Adam dan Hawa. Begitupun cinta dalam makna yang sebenar bukanlah nafsu, tetapi kepercayaan. Orang yang percaya kepada sesuatu perkara dengan tindakan dan bukti tanpa memerlukan apa-apa syarat, itulah cinta. Oleh itu , apabila kita menyatakan cinta kita kepada Allah, maka kita akan dapat mengesan tanda-tandanya.

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut dalam kitabnya, 'Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatil Mushtaqin' bahawa beberapa tanda jatuh cinta yang dialami oleh kebanyakan manusia adalah;

"Banyak mengingati orang yang dicintai, membicarakan tentangnya dan sentiasa menyebut namanya..."

"Tunduk dan mengikut segala perintah orang yang dicintai dan mendahulukan segala keperluannya..."

"Memerhati kata-kata orang yang dicintai dan mendengarkannya..."

"Mencintai segala perkara yang dicintai oleh sang kekasih..."

Sekiranya diteliti, perkara yang disebut oleh Ibnu Qayyim itu memang benar. Apabila kita jatuh cinta, pasti kita membuat perkara-perkara tersebut. Dan sekiranya ia tidak ditangani dengan bijak, natijahnya akan mengundang perkara yang negatif dan mencelakakan manusia. Seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain, maka hari-hari yang berlalu terasa mendung, sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tidak mahu diduakan oleh sesiapa.

Sebenarnya tidak banyak perbezaan yang berlaku daripada segi prinsip apabila kita jatuh cinta kepada Allah kerana matlamat asalnya juga cinta. Ringkasnya, apabila kita jatuh cinta kepada Allah, kita pasti mengingatiNya, tunduk dan patuh pada semua perintahNya, memerhati dan menuruti segala peraturanNya dan mencintai segala perkara yang dicintai oleh Allah. Itu juga disebut antara tanda-tanda cinta kepada Allah.

Bukti Cinta Kepada Allah

Perkataan cinta adalah perkataan yang menuntut kita melaksanakan perkara yang kita ucapkan. Adakah cukup sekadar kita melafaskan perkataan cinta tanpa menunjukkan bukti kita benar-benar memaksudkannya? Pastinya tidak. Apabila kita melafazkan cinta, maka ia perlu dilaksanakan dengan perbuatan.

Sekiranya cinta kepada Allah, maka ia perlu disertai dengan bukti. Lalu bagaimana bukti itu dapat diperlihatkan?

"Sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati manusia..."

Pasangan yang jatuh cinta sentiasa mengingati pasangannya. Hatinya tenteram dan bertaman bunga apabila terfikir mengenai sang kekasih. Begitu juga cinta kepada Allah. Manusia yang jatuh cinta dengan Allah sentiasa mengingati dan merindui Allah. Di dalam Surah Ar Ra'du ayat 28, Allah menjamin kepada manusia yang mengingatinya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang...".

Ayat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa bila hati kita ingat dan terhubung dengan Allah, hati kita akan menjad tenang. Namun, dalam ayat lain, Allah menceritakan bahawa, "Orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka..." (Al Anfaal:2).

Pada kedua-dua ayat itu berlaku apa yang dikatakan sebagai "zikrullah" - mengingati Allah. Walaupun kedua-duanya berhasil zikrullah, satu ayat sebut hati menjadi tenang dan satu ayat lagi sebut hati menjadi gementar. Bagaimana boleh menjadi begitu? Apakah bila kita dengan Allah, adakala hati menjadi tenang dan adakalanya hati menjadi gementar?Sebenarnya bukanlah ia bermaksud hati orang beriman itu berubah-ubah dengan Tuhan. Hati mereka sebenarnya mempunyai dua keadaan pada masa yang sama, iaitu berkeadaan tenang dan juga berkeadaan gementar.

Yang dikatakan tenang itu ialah tenang dengan dunia, yakni hati mereka itu tidak tergugat dengan ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan cercaan manusia. Malah semua itu menjadi hiburan apabila hati sudah kuat berhubung dengan Allah Taala serta memahami maksud ujian tersebut.

Yang dikatakan gementar pula, ialah bila hati berhubung dengan Tuhan, timbul rasa cemas dengan dosa yang dilakukan kepadaNya. Rasa gementar itu juga boleh berhasil dari rasa kagum dengan kehebatan Allah Taala, setelah menyaksikan kehebatanNya mencipta alam dan cakerawala, lalu apabila ayat dibacakan kepadanya tiba-tiba hati manusia menjadi gementar. Hal ini pasti berlaku kepada orang beriman yang hatinya itu sentiasa mencintai Allah. Ketakutan bagi orang bercinta ialah putus cinta atau cinta tidak berbalas dan tidak dipedulikan.

Firman Allah Taala (bermaksud), "Sesungguhnya orang-orang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka (dengan sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka". (Al Mukminun:57-60).

Dari Aisyah R.A.h berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini (Al Mukminun:57-60). Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?

Baginda S.A.W menjawab, "Tidak wahai Humairah, tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, bersedeqah, dan pada masa yang sama hati merasa takut amalan-amalan itu tidak diterima Allah. Mereka ini adalah orang-orang yang bersegera dalam amal kebaikan".

Maka jaminan Allah kepada hati hambaNya yang mengingatiNya, rasa tenang dan rasa gementar. Dan realitinya orang bercinta akan menurut segala kemahuan sang kekasih walaupun mereka serba-serbi kekurangan pada masa itu. Ini bermakna, bukti seseorang itu mencintai Allah ialah kita mengikuti segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

"Orang yang beriman itu kuat kecintaannya kepada Allah..." (Al Baqarah:165)

Maka, tanda orang bercinta kepada Allah ialah iman yang benar di dalam hati, iaitu mempercayaiNya dengan sesungguhnya tanpa lelah dan rungutan, tanpa ingkar dan pendustaan. Itulah cinta, cinta itu adalah percaya, bukannya nafsu.

Hakikatnya, mencintai Allah itu lebih mudah daripada mencintai manusia. Cinta manusia bersyarat, tetapi cinta Allah selamanya. Allah tidak mahukan harta kita kerana Allah pemberi rezeki. Bahkan kita yang dituntut supaya meminta sesuatu daripada Allah melalui doa. Oleh itu, tadahlah tangan kalian dan mengucapkan ai shi teru kepada Allah. Semoga dengan itu kita tergolong di kalangan hamba yang dicintai olehNya. Seorang pujangga memberitahu :

"Jika kamu berikan hatimu yang kudus kepada manusia, dia boleh melukai dan menghancurkannya. Tetapi sekiranya kamu berikan hatimu yang hancur luluh itu kepada Allah, Dia pasti akan memperbaikinya."

sumber : tarbawi.my

No comments:

Post a Comment

UNBREAKABLE

Bestlah buku ni,mulanya risau juga nak beli buku omputih,sebab risau pengunaan perkataan di luar kotak fikiranku😂Tapi sebab pernah d...