BENARKAH WANITA MEMERLUKAN LELAKI?
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya?
Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala. Ya, apa
perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya
kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama
kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang
saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan?
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik,
tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu
jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana
selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik
stor kecil untuk solat, dan dia, sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo ?
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam
kepalanya. Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan
membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan
gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki?
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang
dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita
mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api. Tetapi, jika kita
bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang
baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun
dari langit. Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala
berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia
menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian
kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalami
selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan
lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya ? Dia akan
datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana
Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan
seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah
kakinya. Dia, menyempurnakan kita. Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun
perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek,
kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki
duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung
juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita. Kerana itu
tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki
tidak juga berkuranganwalaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia. Tetapi
lelaki juga mendatangkan sengsara. Tetapi jika kita bijak menatangnya,
semuanya pasti baik-baik sahaja. Namun itulah adat dalam perhubungan. Yang
buruk-buruk pasti ada Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada
kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan
ke hari tua?
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki
permata jiwa tetapi menerima tentangan famili dua pihak, jika anda fikir anda
tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda
menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga
diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang
dewasa bersama-sama sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di
bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki
yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih. Dan semoga lelaki
yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami
isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga
sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia,
dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan
Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa. Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa
dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan
rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gaha sehingga mengenepi kudrat lelaki,
tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit
daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat
bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari
untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut
untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk
hati ? Untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah
angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya. Tetapi
kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja
diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun
tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata. Kita mahu menjadi bunga,
menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah
perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling
hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati. Tetapi kita bahagia dalam
dakapannya.
Semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang
baik...
mujahidah : perkongsian daripada seorang sahabat.
" Hai orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan)untuk mendekatkan diri kepadaNYA Dan berjuanglah di jalan Allah, agar kamu beruntung. "(Al-Maidah : 35)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
UNBREAKABLE
Bestlah buku ni,mulanya risau juga nak beli buku omputih,sebab risau pengunaan perkataan di luar kotak fikiranku😂Tapi sebab pernah d...
-
Bestlah buku ni,mulanya risau juga nak beli buku omputih,sebab risau pengunaan perkataan di luar kotak fikiranku😂Tapi sebab pernah d...
-
❤ Pertama Saya akan bahagikan 3 bahagian. Bahagian 1 : Juzuk 1 - Juzuk 10 Bahagian 2 : Juzuk 11 - Juzuk 20 Bahagian 3 : Juzuk 21 - Juzu...
-
Jom ambil pengajaran daripada komik di bawah(*_*) situasi 1 situasi 2 situasi 3 situasi 4 p/s:sila klik gambar untuk lebih jelas:-)
No comments:
Post a Comment