" Hai orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan)untuk mendekatkan diri kepadaNYA Dan berjuanglah di jalan Allah, agar kamu beruntung. "(Al-Maidah : 35)

25 January 2010

OSTEOPOROSIS


Mengetahui bahawa anda menghidap osteoporosis boleh mengakibatkan kegusaran, terutamanya jika anda sudah mengalami keretakan. Osteoporosis, penyakit yang mengakibatkan penipisan tulang dan kenaikan risiko keretakan, boleh menjadi beban terutamanya jika anda melebihi usia 60 tahun. Bagaimanapun, ini bukan penamat segalanya. Walaupun osteoporosis tidak boleh dipulihkan, ia masih boleh diurus dan dirawat.

Tulang kita sentiasa membina dirinya sendiri dengan membuang tulang lama (penyerapan tulang) dan menggantikannya dengan tulang baru (pembentukan tulang). Sambil usia anda meningkat dan terutamanya setelah mengalami menopaus, tulang anda akan terhapus lebih cepat daripada terbina. Osteoporosis berlaku apabila penyerapan tulang berlaku lebih pantas dari pembentukan tulang dalam jangka panjang. Bagi wanita selepas menopaus, penyerapan tulang semakin cepat kerana kejatuhan tahap estrogen, iaitu sejenis hormon yang melindungi tulang.

Rawatan bagi osteoporosis bertumpu kepada menghalang proses penyerapan tulang, meningkatkan pembentukan tulang atau kedua-dua tindakan ini digabungkan, lalu memperbaiki kualiti dan ketumpatan tulang. Dalam kata lain, sesetengah rawatan direka untuk melambatkan proses penghapusan tulang manakala yang lain pula untuk membina tulang.

Bifosfonat

Rawatan yang paling banyak digunakan adalah bifosfonat, iaitu ubat anti-penyerapan. Bifosfonat mengurangkan proses penyerapan tulang, dan pada masa yang sama, menyimpan dan mengekalkan ketumpatan dan kualiti tulang untuk mengelakkan patah atau keretakan yang lebih teruk.

Antara bifosfonat yang paling banyak digunakan termasuklah alendronat, etidronat, risedronat, ibandronat dan zoledronat. Pengurusan yang betul adalah perlu untuk terus mengurangkan kesan sampingannya.

Reseptor Pengawalatur Estrogen Selektif (SERM)

Satu lagi jenis ubat anti-penyerapan adalah Reseptor Pengawalatur Estrogen Selektif (SERM). Dadah ini boleh menyerupai estrogen dalam sesetengah tisu atau menghalang tindakan estrogen pada tisu lain.

Serms boleh memberikan manfaat estrogen yang diperlukan dalam mengurangkan penyerapan tulang. Raloxifene, sejenis ubat SERM, adalah satu-satunya ubat yang digunakan dalam rawatan dan pencegahan oestoporosis bagi wanita yang sudah menopaus.

Kalsitonin

Kalsitonin turut digunakan sebagai agen anti-penyerapan. Ia boleh membantu menstabilkan tahap kalsium dalam badan anda dan mengelakkan kehilangan tulang dengan menghalang proses penyerapan tulang. Kalsitonin boleh diambil melalui suntikan atau semburan hidung. Walaupun tidak efektif seperti dadah anti-penyerapan yang lain, kalsitonin telah terbukti dapat mengurangkan sakit belakang bagi mereka yang mempunyai keretakan akibat osteoporosis.

Terapi Penggantian Hormon/ Estrogen (HRT/ERT)

Doktor anda mungkin mencadangkan terapi penggantian hormon (HRT) atau terapi penggantian estrogen (ERT). Disebabkan tahap estrogen rendah akibat menopaus, HRT dan ERT boleh membantu menggantikan estrogen dalam badan. Digunakan untuk mengurangkan penyerapan tulang dan kehilangan tulang selepas menopaus awal di kalangan wanita, HRT dan ERT semakin kurang digunakan kini berikutan kegusaran tentang peningkatan risiko kanser.

Hormon Paratiroid

Terdapat juga agen pembinaan tulang yang boleh membantu merawat osteoporosis kritikal. Satu daripadanya adalah hormon paratiroid, iaitu penyelaras utama kalsium dan fosfat dalam tulang bagi badan. Teriparatide, versi sintetik hormon paratiroid digunakan untuk merangsang perkembangan tulang.

Teriparatid biasanya diberikan kepada mereka yang menghidap osteoporosis kritikal yang tidak boleh mengambil ubat lain atau bagi mereka yang mendapati ubat lain tidak efektif. Ini biasanya disebabkan kosnya yang tinggi dan perlu disuntik setiap hari.

Strontium Ranelat

Satu rawatan terbaru yang digunakan bagi osteoporosis adalah strontium ranelate. Dadah ini boleh mengurangkan risiko keretakan vertebra hingga hampir separuh bagi wanita selepas menopaus yang menghidap osteoporosis. Seperti kebanyakan rawatan osteoporosis, strontium ranelate bertujuan mengurangkan kehilangan tulang dan meningkatkan pembentukan tulang, lalu meningkatkan jisim tulang untuk mengelakkan lebih keretakan.

Diet dan gaya hidup

Semua orang yang telah disahkan menghidap osteoporosis juga dinasihatkan untuk membuat perubahan pada diet dan gaya hidup. Pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi adalah sangat penting dalam rawatan osteoporosis. Kalsium boleh mengelakkan kehilangan tulang dan vitamin D akan membantu badan menyerap kalsium dengan lebih baik.

Anda boleh mengambil kalsium dan vitamin D dalam diet anda atau sebagai makanan tambahan. Pengambilan harian yang dicadangkan bagi kalsium dan vitamin D bagi rakyat Malaysia adalah seperti di bawah:

Antara sumber-sumber baik bagi kalsium adalah susu dan produk berasaskan tenusu, sayuran hijau gelap berdaun seperti kai lan, pak choy dan brokoli, produk soya seperti tempe dan susu soya, ikan dengan tulang lembut dan boleh dimakan seperti sardin dalan tin dan ikan bilis, dan minuman, biskut dan bijirin yang diperkaya. Vitamin D pula dihasilkan oleh badan apabila ia terdedah kepada cahaya matahari selama 10 hingga 20 minit.

Kalsium dan vitamin D juga diambil sebagai makanan tambahan jika pengambilannya dalam diet tidak mencukupi. Di samping memastikan pengambilan anda mencukupi, makanan tambahan juga diambil untuk memaksimumkan kesan terapi dadah anda. Doktor anda akan mencadangkan dos yang diperlukan untuk memenuhi keperluan harian anda.

Akhir sekali, ingatlah bahawa pemakanan dan gaya hidup anda turut memainkan peranan penting dalam merawat osteoporosis. Selain memastikan ada mendapat kalsium dan vitamin D, anda juga perlu bersenam. Berjalan dan tai chi adalah contoh senaman menahan berat yang akan merangsang pembentukan tulang. Tetapi, dapatkan nasihat doktor dahulu sebelum memulakan sebarang regim senaman untuk mengelakkan kecederaan yang tidak disengajakan.

Anda juga perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan pengambilan alkohol, natrium dan kafein berlebihan. Elakkan dari menghisap rokok juga. Semua ini boleh mempercepatkan kehilangan tulang dan membantutkan rawatan osteoporosis.

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.

mujahidah:sayangilah tulang anda sedari muda lagi...jangan manjakan diri,rajin-rajinlah beraktiviti seperti bersenam,bercucuk tanam dan banyak lagi,apa yang penting...kerjasama...hehe..apa yang penting adalah jangan malas!pesanan buat diri yang makin bertambah umurnya dan buat semua pengunjung(*_*)

Free Signature Generator

Related Posts by Categories



No comments:

Post a Comment