05 March 2011

PERUTUSAN KHAS

1. Segala puji bagi Allah swt Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasul saw. Nabi akhir zaman yang telah menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliyyah menuju cahaya hidayah Allah swt. Salam persaudaraan dan salam perjuangan jua saya hulurkan buat semua pengundi di dalam N 27 DUN Merlimau dan N 28 DUN Kerdau.


2. Tidak sampai 13 jam lagi menanti detik pembuangan undi serentak di DUN Merlimau dan Kerdau. Ia juga menjadi detik penentuan antara Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS dan Barisan Nasional yang diwakili oleh UMNO.


3. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan kejayaan berpihak kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat di kedua - dua DUN Merlimau dan Kerdau meskipun menyedari PR menghadapi laluan sukar untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Namun ia bukanlah misi mustahil untuk PR membuat sebarang kejutan dengan memenangi pilihanraya ini ataupun mengurangi majoriti yang telah dimiliki oleh BN melalui pilihanraya umum 2008 yang lalu.


4. Kedua - dua calon PAS, Sdr Hasanuddin di Kerdau dan Sdr Yuhaizat di Merlimau turun dengan yakin dan optimis untuk membawa pulang kemenangan dengan harapan pengundi memberi peluang kepada PAS untuk menghantar seorang lagi wakil rakyat ke DUN Pahang dan wakil tunggal PAS di DUN Melaka.


5. Saya percaya kepada kebijaksanaan pengundi dalam menilai erti pilihanraya sebagai peluang untuk memilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab serta mampu membawa suara rakyat yang diwakili ke DUN. Pemimpin yang mampu mendokong dasar yang baik dan berani menegur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa jika berlaku dan dilakukan oleh pihak pemerintah.


6. Calon yang mewakili PR tentunya tidak akan menjadi "Pak Angguk" atau "Mr. Yes Man" kepada pemerintah sebaliknya tegas membawa suara rakyat dan memperjuangkan hak mereka yang diwakilinya sekaligus berperanan sebagai "check and balance" di dalam DUN.


7. Pilihanraya bukan soal jalanraya dan pilihanraya juga bukan soal projek mee segera tetapi pilihanraya adalah untuk masa depan bangsa dan negara dengan membuat pilihan yang betul, memilih pemimpin yang berwibawa.


8. Akhirnya saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia merayu kepada semua pengundi agar memberi satu peluang kepada PAS mewakili PR untuk memainkan peranan penting sebagai pemimpin yang diamanahkan membawa dan memperjuangkan hak dan nasib rakyat setelah rakyat telah menilai peluang yang diberikan sejak 53 trahun lalu kepada UMNO dan BN.


9. Dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS insyaallah akan menjadi sandaran penting untuk wakil rakyat kita berfungsi sebagai pemimpin harapan ummah dengan memikul segala tanggungjawab dan amanah dengan baik dan jayanya.


10. Saya ucapkan selamat mengundi buat semua pengundi yang budiman. Hadhirlah mengundi dengan tenang dan sikap yang positif tanpa memberi ruang kepada pelbagai pihak mempengaruhi pemikiran pengundi secara ugutan dan sogokan material justeru maruah dan prinsip pengundi tentunya tidak boleh ditimbang jual semurah nilai ringgit.


::PERUTUSAN KHAS DARIPADA USTAZ NASRUDIN HASSAN BUAT SEMUA PENGUNDI-PENGUNDI DI MERLIMAU & KERDAU::

No comments:

Post a Comment

UNBREAKABLE

Bestlah buku ni,mulanya risau juga nak beli buku omputih,sebab risau pengunaan perkataan di luar kotak fikiranku😂Tapi sebab pernah d...